Oleh MUZLINA ABU BAKAR
muzlina.bakar@utusan.com.my
KUALA LUMPUR 5 Sept. - Sistem Televisyen Malaysia Berhad (TV3) hari ini memohon maaf kepada seluruh masyarakat Islam kerana penyiaran iklan yang dikatakan mempunyai unsur-unsur yang boleh memesong akidah terutama kanak-kanak.
Sehubungan itu, iklan tersebut yang ditayangkan sejak Khamis lalu telah pun dihentikan penyiarannya semalam.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan ketika dihubungi hari ini berkata, bagi pihak TV3 beliau meminta maaf kepada masyarakat Islam terutama penonton TV3 di atas kesilapan yang tidak disengajakan itu.
"Sebagai orang yang bertanggungjawab meluluskan iklan itu, tidak terlintas di fikiran saya untuk menyinggung perasaan mana-mana pihak sebaliknya hanya melihat itu sebagai daya kreativiti pengarahnya.
"Dalam iklan selama seminit itu, ia menggambarkan impian seorang kanak-kanak dengan beca ajaibnya sesuai dengan tema TV3 tahun ini iaitu Sinari Lebaran,'' katanya.
Sejak Khamis lalu, TV3 menyiarkan iklan sempena hari raya yang menggambarkan seorang 'Pak Haji' mengajak kanak-kanak menaiki beca ajaib sehingga melintasi bulan.
Ia seolah-olah menyamai watak Santa Claus menaiki kereta salju yang dipacu oleh sekawan rusa kutub membawa hadiah Hari Natal untuk kanak-kanak.
Iklan tersebut juga menampilkan babak kemunculan pelita melalui bunga teratai yang dikatakan menyamai fahaman agama Buddha.
Iklan tersebut diterbitkan oleh Pengarah Kreatif TV3, Douglas Khoo Hong Seng dengan kos penerbitan RM200,000 dan banyak menggunakan teknik janaan pengimejan komputer (CGI).
Menurut Farid, dengan mengambil kira rungutan dan rasa tidak senang penonton, iklan tersebut telah pun dihentikan pada pukul 9 malam tadi selepas lima kali disiarkan.
''Walaupun iklan itu baru lima kali ditayangkan, kami telah pun menarik penyiarannya demi memelihara keharmonian dan menghargai pandangan penonton.
"Sebagai sebuah stesen televisyen yang sentiasa cuba memberikan yang terbaik kepada penonton, komen-komen begini sedikit sebanyak membantu kami untuk tidak melakukan kesilapan lagi," katanya.
Farid berkata, disebabkan kesuntukan masa, mulai esok sebagai menggantikan iklan tersebut, TV3 akan menyiarkan iklan raya tahun lalu iaitu 'Ikan di laut, asam di darat' arahan Allahyarham Yasmin Ahmad.
Sementara itu, Douglas ketika dihubungi mengenai iklan daripada idea kreatifnya itu akur dengan apa juga keputusan pihak TV3.
Katanya, sebagai Pengarah Kreatif TV3 beliau cuba melahirkan sesuatu yang menarik sesuai dengan tema kali ini iaitu Sinari Lebaran dengan menggambarkan keriangan kanak-kanak.
"Semasa membuat iklan ini, apa yang saya fikir hanyalah untuk melahirkan Melayu milenium dan tidak pernah terlintas untuk menyinggung perasaan orang Islam.
"Saya cuma mahu gambarkan impian dan keriangan kanak-kanak itu dengan beca ajaibnya untuk mencapai apa yang difikirkan kerana saya rasa ia cantik dan sesuai.
"Saya benar-benar menyesal atas apa yang berlaku dan saya memohon maaf kepada masyarakat Islam di atas kesilapan yang tidak disengajakan,'' katanya.
Beliau berkata, komen dan pandangan pelbagai pihak akan dijadikan panduan dalam menghasilkan sesuatu karya pada masa depan.
Iklan Sinari Lebaran yang menelan kos sebanyak RM200,000 menjalani penggambaran tiga minggu lalu di Bukit Broga, Semenyih, Negeri Sembilan.
Penggambaran selama seminggu itu mengabadikan babak beca ajaib dari Pulau Pinang, Perak dan Bukit Broga dengan menggunakan CGI dengan lagu latar hari raya ciptaan komposer Jerry dan Bijay dan dinyanyikan oleh Atilia.
ape kes:
saya kekadang xpaham la. cmne la bende2 cmnie ley terlepas pandang. yela, nampak sgt kita nie terlalu amik mudah atas sesuatu bende. da la iklan tuh org bukan ISLAM yg buat. dorg mane tau ape. so, kita yang tau nie la kene prihatin terhadap bende2 cmtuh.